30 August 2009

Hidupkan Ramadan dengan perbanyak amalan berfaedah

Oleh Mohd Shukri Hanapi

RAMADAN adalah penghulu segala bulan. Dalam Ramadan diturunkan al-Quran. Ia adalah bulan beribadah, keampunan, rahmat dan bulan untuk mendekatkan diri kepada Allah.

Bulan yang istimewa dan penuh bermakna ini hanya datang sekali dalam setahun. Setiap kali kemunculannya ia disambut dengan penuh kegembiraan oleh umat Islam seluruhnya.

Malah, setiap umat Islam yang beriman, menantinya dengan penuh debaran dan harapan. Peluang untuk beribadah dengan ganjaran pahala yang berlipat ganda pada bulan ini. Mereka tidak lepaskan dengan begitu saja. Mereka bagaikan ingin terus mendampingi Ramadan buat selama-lamanya.

Oleh itu, tidak hairanlah sekiranya ada antara umat Islam yang sedih meninggalkan Ramadan biarpun kemunculan Syawal tidak kurang pengertian dan kemeriahannya.

Setiap umat Islam hendaklah menyambut Ramadan dengan penuh pengertian dan ketakwaan. Memang pada dasarnya Ramadan itu difardukan untuk membina ketakwaan dalam diri umat manusia.

Allah berfirman bermaksud: "Wahai orang yang beriman!, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang yang sebelum kamu agar kamu bertakwa" (Surah al-Baqarah, ayat:183).

Di samping berpuasa pada siang hari, banyak lagi ibadah sunat yang Allah dijanjikan pahala yang berlipat ganda seperti membaca al-Quran, bersedekah dan bersolat sunat.

Bahkan umat Islam juga hendaklah menjauhi segala perkara yang tidak mendatangkan manfaat atau faedah seperti berbual kosong atau menghabiskan masa dengan kerja yang tidak berguna. Hal ini akan mengurangkan pahala dan mencacatkan ibadah puasa kita.

Menghidupkan Ramadan tidak bermakna kita seharusnya menumpukan seluruh kegiatan kita dengan ibadah keagamaan semata-mata dan mengurangkan kerja harian yang sering dilakukan.

Konsep ibadah yang menyeluruh sebenarnya meliputi semua kewajipan yang diamanahkan kepada kita. Ini termasuk menunaikan tanggungjawab mencari rezeki, meningkatkan produktiviti kerja, berusaha mempelajari kemahiran baru, berinteraksi dengan masyarakat dan rakan sekerja.

Disiplin yang kita amalkan pada Ramadan boleh meningkatkan semangat dan keupayaan untuk memenuhi keperluan pekerjaan. Sebagai contoh, mengelakkan diri daripada membuat kerja yang tidak berfaedah dapat meningkatkan produktiviti negara. Berjimat cermat pula dapat membantu meningkatkan usaha mengurangkan kos dan berhemat dalam kerja.

Di samping itu, setiap umat Islam mempunyai peranan dan tanggungjawab untuk menjaga kesucian Ramadan yang penuh barakah ini.

Justeru, kita diingatkan agar menghormati Ramadan dengan mengelakkan daripada makan atau minum di tempat awam pada siang. Peniaga dan penjual makanan juga seharusnya memainkan peranan dengan tidak menjual makanan dan minuman kepada umat Islam sepanjang waktu berpuasa.

Memperbanyakkan ibadah serta menjauhi diri daripada kegiatan yang tidak berfaedah sangat ditekankan pada Ramadan.

No comments:

Post a Comment